Category: Perkongsian Usrah


Taubat

Penulis: al-Muhaqqiq

Perkataan taubat merupakan perkataan yang sangat cantik dan ajaib.Maha Pengampunnya Allah itu kerana memberikan kita satu nikmat dan anugerah yang tidak terhingga yang memberi kita peluang untuk menghapus dosa.Sesungguhnya Allah menciptakan manusia itu dengan sifat pelupa.Itulah “insan”.Perkataan “insan” itu sendiri berasal daripada perkataan “nasya” yang bererti “lupa”.Betapa Allah yang maha mencipta mengetahui hakikat ini.Iman manusia itu sentiasa menaik dan menurun. Adalah mustahil seseorang manusia itu terlepas daripada melakukan dosa melainkan Nabi s.a.w yang ma’sum.Oleh itu,dianugerahkan Allah kepada kita taubat.Taubat secara umumnya bererti kita menyesal atas perbuatan dosa yang pernah dilakukan,meminta ampun daripada Allah dan berazam tidak akan mengulanginya lagi.Seperti dalam satu hadith, seorang sahabat datang bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Apakah penyesalan itu taubat?”Jawab baginda: “Ya”(H.R Ibnu Majah). ______________________________________________________________________________

JANGAN KECEWA WAHAI INSAN


“Katakanlah:Wahai hamba-hambaku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah.Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya.Sungguh,Dialah yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.”(Az-Zumar:53)

Dalam ayat ini,Allah menerangkan betapa Dia mengingini hamba-hambanya yang telah lalai dan terlajak supaya tidak berputus asa daripada mengharapkan rahmat dan pengampunannya.Mungkin seseorang itu merasakan bahawa terlalu banyak dosa yang telah dilakukannya dan tiadalah harapan untuk dia kembali ke pangkal jalan.Mungkin juga ada orang yang sudah beberapa kali bertaubat kepada Allah,tetapi kerap kali pula mengulangi dosa-dosanya yang lalu,lalu dia mengatakan, “Habislah aku,tidak ada peluanglah aku untuk mendapat keampunan lagi.”Tetapi, ketahuilah bahawa rahmat dan keampunan Allah tidak pernah putus.Jika syaitan cuba mengecewakan kita dengan semua perkara ini,ingatlah pesan Allah ini.Dia amat mengharapkan hamba-hambanya merintih memohon keampunan daripadanya. Sabda Rasulullah s.a.w:

“ Sesungguhnya Allah lebih suka menerima taubat seorang hambaNya, melebihi dari kesenangan seseorang yang menemukan kembali dengan tiba-tiba, untanya yang telah hilang daripadanya di tengah hutan.”(H.R Bukhari & Muslim)

Betapa gembiranya Allah jika kita merendahkan diri memohon keampunan daripadanya.Sesungguhnya, selagi nyawa kita tidak sampai di tenggorok dan selagi matahari belum terbit dari arah barat,selagi itulah pintu taubat masih terbuka.Sabda Nabi s.a.w:

“Siapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari Barat, maka Allah menerima taubatnya.”(H.R Muslim)

Dan

“Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat seseorang hambaNya selama ruh (nyawanya) belum sampai di tenggorokan (hampir mati)”(H.R At-Tirmizi,hadith hasan)

______________________________________________________________________________

SALAH FAHAM TENTANG TAUBAT

Dosa Syirik

àAda segelintir pihak yang memahami bahawa apabila seseorang itu telah melakukan dosa syirik, maka tiada lagilah peluang baginya bertaubat.Sesungguhnya pendapat ini adalah pendapat yang tidak benar.Bagaimana mungkin Allah yang mengakui bahawa Dialah yang Maha Pengampun tidak akan mengampuni dosa.Adakah Allah begitu zalim?Mungkin seseorang itu pada mulanya tidak mengetahui akan kesalahan syiriknya,tetapi satu hari dia mula sedar akan kesilapannya dan ingin bertaubat.Adakah Allah tidak menerima taubatnya?Amat tersasarlah kepercayaan yang seperti itu.Sesungguhnya Islam ini adalah agama rahmat dan Allah bersedia mengampunkan dosa hamba-hambanya jika mereka bertaubat.Mereka yang berpandangan seperti itu menyalah tafsirkan ayat al-Qur’an yang berbunyi:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa kerana mempersekutukannya(syirik),dan Dia mengampuni apa(dosa) yang selain (syirik) itu bagi sesiapa yang Dia kehendaki.Barangsiapa yang mempersekutukan Allah,maka sungguh,dia telah berbuat dosa yang besar.”(An-Nisa’:48)

Jika difahami ayat ini secara “direct understanding”,memanglah kita akan memahami bahawa tiada lagi peluang untuk kita bertaubat.Tetapi,maksud yang sebenar dari ayat ini ialah jika seseorang itu mati dalam keadaan syirik,iaitu tidak bertaubat semasa hidupnya,maka tiadalah peluang baginya untuk diampuni dosanya di akhirat kelak.Jika misalnya seseorang itu mati dan tidak bertaubat dengan dosa zinanya,masih ada lagi peluang untuk dosanya diampunkan oleh Allah di akhirat.Cara-caranya ialah:

1. Timbangan dosa dan pahala.Jika timbangan pahalanya melebihi dosa,maka ada peluang untuk diampunkan dosa itu lalu dimasukkanya ke dalam syurga.

2. Jika seseorang itu semasa hidupnya banyak menimpa kesusahan dan dugaan,lalu dia bersabar dengannya,mungkin Allah akan mengampunkannya kerana itu.

3. Jika ada orang lain yang melakukan kesalahan terhadapnya semasa di dunia,maka dia boleh menuntut pahala daripada orang itu.Jika orang itu sudah tidak mempunyai pahala untuk diberikan,maka dosanya pula yang akan diberikan kepada orang itu.Inilah yang Nabi s.a.w sifatkan sebagai “muflis” di akhirat.

4. Setelah seseorang itu menjalani hukuman neraka di akhirat akibat perbuatan zinanya dalam sesuatu tempoh,maka dosanya diampunkan lalu dia akan dimasukkan ke syurga.

Jadi,ia berbeza dengan dosa syirik,jika mati dalam keadaan syirik,maka cara-cara di atas tidak akan dapat menghapuskan dosa syirik itu.Inilah yang dimaksudkan dari ayat ini.

Menyingkap Keaiban

àTerdapat jenis manusia yang rasa bersalah jika dia menyembunyikan aib dan dosa yang dilakukannya.Bagi mereka,kita mestilah menceritakan diri kita yang sebenar kepada orang,kalau tidak kita dikira sebagai berpura-pura.Ya akhi,jika hendak difikirkan begitu,setiap orang di muka bumi ini pasti ada aib mereka tersendiri.Tetapi Allah yang Maha Penyayang menutup aib kita daripada tersingkap.Mengapa pula ketika Allah hendak menyembunyikan aib kita,kita pula yang sibuk mendedahkan aib sendiri?Bertaubatlah sahaja kepada Allah dan lupakanlah masa silam itu.Sesungguhnya setiap hamba itu diberi peluang untuk bertaubat dan mencorak masa depan dengan baik.Jika didedahkan,sudah tentu akan terhalang perubahan kita dek cemuhan dan pandang serong masyarakat.Jika kita ada terlanjur dengan dosa zina,adakah kita perlu pergi melaporkannya kepada pihak berkuasa demi mennghapuskan dosa dengan hukuman sebat yang bakal dihadapi?Tidaklah begitu.Orang yang dihukum dengan hudud sekalipun jika di hatinya tiada penyesalan,tidak terampun juga dosanya.Dan orang yang tidak menjalani hudud sekalipun jika dia benar-benar bertaubat kepada Allah,maka Allah akan ampuni dosanya.Hukum hudud itu hanya akan dijatuhkan apabila berita penzinaan itu sampai kepada pihak berkuasa disertai dengan bukti dan saksi yang cukup.Jika hanya kita sahaja yang tahu,maka bertaubat sahajalah.Sesungguhnya Allah itu Maha Mengasihani,Dia tidak zalim.

Sabda Nabi s.a.w:

“Setiap umatku dimaafkan kecuali orang yang terang-terangan(melakukan maksiat).Dan termasuk terang-terangan ialah mereka yang melakukan maksiat di malam hari,kemudian di pagi harinya(padahal Allah telah menutup aibnya) ia berkata:”wahai fulan,kelmarin aku telah melakukan ini dan itu”.Padahal Allah telah menutupnya,dan di pagi harinya ia membuka tutupan Allah terhadapnya.”(H.R Bukhari)

*Tidak mengapa jika menceritakan kesilapan yang lalu dengan tujuan nasihat dan ibrah.

______________________________________________________________________________

CARA-CARA DIAMPUN DOSA

1.Mengikuti perbuatan jahat dengan kebaikan

Sabda Nabi s.a.w: “Ikutilah kesalahan kamu dengan kebaikan, nescaya ia dapat menghapuskannya”(H.R Tirmizi,menurut at-Tirmizi hadith ini hasan.Dalam kitab lainnya hasan sahih)

Setiap kali kita melakukan dosa,maka ikutilah ia dengan kebaikan. Jika kita melakukan dosa, ikutilah ia dengan sedekah, solat-solat sunat, puasa sunat, beristighfar dll.Insyaallah kebaikan itu akan memadam dosa-dosa yang telah dilakukan.

2.Menyesal atas perbuatan dan bertaubat kepada Allah

“Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan kebajikan; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan.Allah Maha Pengampun,Maha Penyayang.”(Al-Furqan:70)

Cara ini lebih baik.Apabila kita menyesal dan bertaubat akan dosa kita,bukan sahaja  diampuni dosa kita, malah dosa itu akan digantikan dengan pahala dan kebaikan. Jika dahulu Saidina Umar r.a. menggunakan segala tenaga dan kekuatannya untuk kejahatan, kini Allah telah mengampunannya malah semua dosa itu telah ditukar kepada kebaikan. Jika dahulu banyak wang kita digunakan untuk bertaruh dan berjudi, tetapi setelah kita bertaubat Allah akan menggantikan dosa pada harta itu kepada kebaikan.Wallahu’alam…

Advertisements

Ulul Albab

Penulis: al-Muhaqqiq

Perkataan “Ulul Albab” kerap kali disebut oleh Allah dalam al-Qur’an.Ini adalah pengiktirafan daripada Allah kepada hamba-hambanya yang berakal sempurna,sihat dan sejahtera.Perkataan ini disebut sebanyak 16 kali di dalam al-Qur’an.Walaubagaimanapun,Allah tidak memberi definisi yang khusus tentang maksud “Ulul Albab”.Hanya yang dinyatakan ialah sifat-sifatnya.Oleh itu,para ulama’ telah hadir dengan pelbagai definisi mereka dalam mentafsirkan makna ini.Imam an-Nawawi menyebut bahwa “ulul albab adalah mereka yang berpengetahuan suci, tidak hanyut dalam derasnya arus. Dan yang terpenting, mereka mengerti, menguasai dan mengamalkan ajaran Islam.”Seperti dalam satu Hadith,

“Sesungguhnya Islam dimulai dalam keadaan asing dan akan kembali asing sebagaimana awalnya, maka thuuba (beruntunglah) orang-orang yang asing” (HR Muslim).

Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh beliau.Walaupun dunia pada hari ini sibuk dengan pelbagai macam kelalaian dan kesesatan dan orang yang melakukan kebaikan dianggap janggal dan pelik,golongan Ulul Albab tetap teguh pada jalan kebenaran.

1. (Ali Imran: 190-191)

à Ayat ini menyifatkan bagaimana golongan “Ulul Albab” melihat kejadian alam bukan sahaja pada luaran tetapi pada maksudnya yang tersirat juga.Apabila mereka melihat kejadian alam,mereka memikirkan pada penciptaannya.Apakah hikmah disebalik setiap penciptaan itu.Contohnya,apabila Allah menciptakan langit,apakah hikmahnya.Mungkin ia adalah sebagai bukti kewujudan Allah sebagai pencipta yang mencipta langit itu tanpa tiang.Juga dari segi manfaatnya bagi sekalian makhluk.Dengan adanya langit, maka bolehlah makhluk di muka bumi ini terlindung dari sinaran terik matahari.Dengan adanya langit,maka Allah menurunkan hujan yang menjadi sumber rezeki di mana ia membasahi tumbuh-tumbuhan, menyuburkan tanaman, dan member minum kepada haiwan-haiwan ternakan. Kesimpulan dari ayat ini,ada tiga perkara yang mesti ditepati oleh seorang hamba untuk dikategorikan sebagai “Ulul Albab”:

1-Mengingati Allah ketika berdiri,duduk dan dalam keadaan berbaring.

2-memikirkan tentang kejadian langit dan bumi.

3-sambil berfikir tentang kejadian langit dan bumi,mereka mengatakan, “Wahai tuhan kami,tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia.Maha suci Engkau, maka jauhilah kami dari azab api neraka.”

___________________________________________________________________________________________

2. (Az-Zumar: 21)

à Ayat ini adalah sebagai penyokong bagi ayat pertama di atas.Ia menuntut supaya setiap orang mengkaji pada penciptaan alam.Allah menuntut umat Islam terutamanya mengkaji segala penciptaan alam supaya kita dapat menghayati kebesarannya.Berapa ramai para pengkaji barat yang memeluk Islam setelah mengkaji tentang kebenaran ayat-ayat Allah pada segi sainsnya.Sesungguhnya kalam Allah ini adalah mukjizat terhebat yang pernah diberikan pada mana-mana RasulNYA.

___________________________________________________________________________________________

3. (Sad: 43)

à Seperti dalam tafsir al-Quran, ayat ini menerangkan bagaimana kisah Nabi Ayyub dapat memberi pengajaran bagi “Ulul Albab”.Nabi Ayyub diuji Allah dengan penyakit kulit dalam masa yang lama.Kesan dari kesabaran dan ketabahannya, maka Allah berkenan menyembuhkan penyakitnya setelah beliau berdoa kepadanya.Kesan daripada kesabaran itu, Allah memperbanyakkan anak-pinaknya.Dari peristiwa ini,”Ulul Albab” dapat melihat dari sudut yang bijak iaitu jika seseorang itu tabah dalam menghadapi dugaan, maka Allah akan melepaskannya dari dugaan itu dan akan menganugerahkannya dengan nikmat yang banyak pula.Maka bolehlah para nuqaba’ mengaitkannya dengan kehidupan sebagai seorang remaja dan pelajar jika mahu.

___________________________________________________________________________________________

4. (Az-Zumar: 17-18)

à Dalam ayat ini, Allah memuji “Ulul Albab” kerana mereka ini adalah orang-orang yang bijak. Ketika masyarakat sekeliling berfikiran lembab dan sembab,mereka ini adalah orang-orang yang celik akalnya.Apabila mereka belajar atau mendengar sesuatu perkara,maka segalanya tidak akan diterima bulat-bulat malah mereka akan mendengar maklumat daripada pelbagai sumber.Setelah mereka mendengar pelbagai pendapat,maka mereka akan memilih pendapat yang terbaik. Perkara ini boleh diaplikasikan dalam 2 bentuk:

1-Dalam soal maklumat tentang masyarakat.Contohnya,apabila “Ulul Albab” mendengar bahawa si fulan bin si fulan telah melakukan perkara yang tidak baik,dia tidak akan mempercayainya sebulat-bulatnya malah mereka akan menyiasat terlebih dahulu.Mereka akan bertanya sendiri daripada tuan punya badan tentang perkara yang didengarnya.Kemudian,mereka akan menimbang-tara perkara itu dengan bijak.

2-Dalam soal hukum-hakam agama.Apabila mereka belajar atau diberitahu tentang sesuatu hukum sedangkan perkara itu tidak diketahui pun asasnya daripada al-Qur’an mahupun sunnah,ataupun mungkin pada penafsiran tentang sesuatu nas itu terdapat keraguan padanya, maka “Ulul Albab” akan menyiasatnya terlebih dahulu.Dan,apabila telah mendengar pelbagai pendapat,mereka tidak memilih untuk mengikut sesuatu pendapat mengikut hawa nafsu ataupun kerana perkara itu sudah terbiasa dalam masyarakat,tetapi mereka memilih pendapat dan perkataan yang terbaik.

___________________________________________________________________________________________

5. (Al-Ma’idah: 100)

à Ayat ini menyifatkan bahawa hanya “Ulul Albab” sahajalah yang mampu membezakan perkara baik dan buruk.Dalam dunia yang sudah terbalik ini,perkara yang baik dianggap jahat,dan yang jahat dianggap baik.Yang sunnah dianggap bid’ah dan yang bid’ah dianggap sunnah.Orang yang tua menua dalam keadaan yang salah dan orang yang muda pula membesar daam keadaan yang tidak tahu.Hanya “Ulul Albab” sahajalah yang tidak terpengaruh dengan semua perkara ini.Mereka dapat mengesan jika ada sesuatu yang tidak kena pada sesuatu amalan.Apa yang diraguinya ditinggalkan, yang diyakini diamalkan. Hari ini,Banyak perkara bathil dilakukan sehingga masyarakat melihat perkara bathil itu sebagai baik.Tetapi, bagi “Ulul Albab”, yang bathil tetap bathil dan yang benar tetap benar.